Selamat Datang Ke Portal Celik Budaya

phone icon Untuk sebarang pertanyaan hubungi kami di +(03) 26148200

Hafitz Khamis

Hafitz Khamis

Berbahasa
3 Modul
10+ Tahun Pengalaman
Berpengalaman
Kembali ke Senarai Jurulatih

Pengalaman & Latar Belakang

43
Pensyarah, Kementerian Pendidikan Malaysia

Hafitz Khamis telah dilahirkan di Hospital Besar, Kuala Lumpur pada tahun 1971. Anak sulung daripada dua beradik ini mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Hishamuddin, Jalan Mahameru, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan. Sejak dari sekolah rendah, beliau amat aktif dalam aktiviti muzik. Bermula dengan bidang nyanyian, beliau pernah menjadi johan dalam pertandingan nyanyian di peringkat sekolah rendah.

Sewaktu di sekolah menengah bakat muzik beliau berkembang dalam bidang penciptaan lagu. Lagu sekolah menengah tempat beliau bersekolah telah beliau cipta dan masih digunakan hingga sekarang. Pengiktirafan pertama dalam bidang penciptaan lagu diraih apabila lagu ciptaan beliau ‘Buah-buahan Tempatan Malaysia’ telah berjaya dipilih ke peringkat akhir Pertandingan Mencipta Lagu Buah-buahan dan Makanan Tempatan’ anjuran DBKL pada tahun 1989. Pada ketika itu beliau berada di tingkatan 6 rendah di sekolah yang sama.

Setelah menamatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Ilmu Khas dengan pengkhususan Pendidikan Sekolah Rendah (Muzik) pada tahun 1991 – 1993. Semasa mengikuti pengajiannya di sini, pengiktirafan pertama dalam peringkat antarabangsa diraih apabila beliau telah dipilih untuk mewakili negara ke ‘Starmaker Karaoke Contest’ di Osaka, Jepun setelah memenangi pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan anjuran National, Panasonic, Technics pada tahun 1991.

Di maktab perguruan, bakat muzik beliau terus berkembang dengan penglibatan sebagai pemain saksofon alto untuk orkestra dan peserta koir untuk MPIK. Pengiktirafan sebagai tertinggi sebagai pendidik telah diterima apabila beliau dipilih sebagai guru pelatih PRAKTIKUM terbaik di majlis konvokesyen MPIK. Selepas tamat pengajiannya, beliau bertugas sebagai guru muzik di Sekolah Kebangsaan Sg. Tua Baharu, Selangor bermula Disember 1993.

Sebagai guru muzik, beliau meneruskan kecemerlangan dengan menjadi Jurulatih Utama Muzik daerah Gombak. Dalam bidang penciptaan lagu pula, lagu beliau ‘Malaysiaku’ berjaya dipilih ke peringkat akhir ‘Merdekarama : Pertandingan Mencipta Lagu Patriotik’ anjuran RTM pada tahun 1992. Pada tahun 1996, kumpulan ‘Acapella’ yang dianggotainya telah berjaya ke peringkat separuh akhir rancangan realiti TV ‘Sinaran Passport Kegemilangan’ anjuran TV3. Pada tahun 1997, lagu ciptaan beliau ‘Di Pertemuan Ini’ nyanyian Anis Suraya dan Arni Nazira berjaya dipilih ke peringkat akhir rancangan ‘Komposer’ anjuran TV3.

Dalam usaha memartabatkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan muzik, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris. Di UPSI, beliau terus aktif dalam bidang muzik dengan menjadi penggubah untuk Orkestra Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam bidang penciptaan lagu pula, lagu beliau telah dipilih sebagai lagu rasmi untuk Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang masih digunakan sehingga sekarang. Anugerah tertinggi sewaktu pengajian beliau di UPSI diterima dengan pemilihan sebagai pemenang anugerah khas Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM) pada tahun 2000.

Setelah tamat pengajian dalam Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), beliau telah ditempatkan di SMK Gombak Setia, Selangor bermula Mei 2001 kemudian berpindah ke SMK Sg. Kertas, Selangor pada bulan Ogos tahun yang sama. Pada tahun 2003, kecemerlangan dalam bidang penciptaan lagu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi apabila lagu beliau ‘Semarak Kedamaian’ telah dipilih sebagai lagu tema ‘PEACE MALAYSIA’ dan telah disiarkan di kaca TV. Lagu tersebut telah dirakam dan dinyanyikan oleh artis Siti Nurhaliza, Zainal Abidin, Ajai, Ning Baizura, Hattan, Ella, XPDC dan beberapa artis tanah air.

Kecemerlangan dalam bidang penciptaan lagu diteruskan dengan sebuah lagu ciptaan khas untuk ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku’ yang telah digubah sendiri oleh beliau dan dimainkan di hadapan ke bawah DYMM YDA oleh Orkestra Kementerian Pelajaran Malaysia. Lagu ‘Rahsia Bingkisan’ nyanyian Mala dan ‘Zapin Kelana’ nyanyian Azmir Arif telah dirakam dan diterbitkan pada tahun 2003.

Sewaktu berkhidmat di sekolah menengah, beliau terus aktif dengan pelantikan sebagai panel dalam penggubalan dan penyebaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah untuk Pendidikan Muzik di peringkat kementerian dan jabatan. Dalam bidang permainan alat dan seni persembahan pula beliau merupakan penggubah muzik dan pemain papan nada (keyboard) untuk kombo Jabatan Pelajaran Selangor yang sering menghadiri jemputan untuk persembahan majlis makan malam.

Kejayaan tertinggi dalam bidang bimbingan muzik diterima apabila pasukan kompang SMK Sg. Kertas telah diangkat sebagai Johan Pertandingan Kompang Formasi peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Kelantan pada tahun 2007. Penarafan di peringkat antarabangsa sekali lagi diterima dengan mewakili negara sebagai pemuzik bersama-sama dengan pelajar ke Festival Kesenian (di Goivanni) di Ferrierre, Italy pada tahun yang sama.

Kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang muzik dan pendidikan beliau seterusnya diiktiraf ke peringkat yang lebih tinggi apabila beliau telah dilantik sebagai pensyarah muzik di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur bermula Ogos 2007. Pada tahun yang sama, beliau telah terlibat di arena antarabangsa dengan mewakili negara ke ‘Kids Fun Folk Festival di Poznan, Poland dengan mengambil peranan sebagai pemuzik. Sepanjang berkhidmat di IPG, beliau telah dilantik sebagai juri untuk peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Puisi & Lagu, Pertandingan Kompang Formasi dan Nyanyian Solo untuk Kementerian Pelajaran Malaysia dan agensi-agensi lain.

Dalam bidang bimbingan muzik, beliau terlibat sebagai jurulatih koir untuk kumpulan koir MPOB, Pejabat Kesihatan dan LLM. Di peringkat kementerian beliau aktif dalam aktiviti kombo dan kebudayaan di samping menjadi fasilitator untuk teknologi muzik di peringkat IPG Malaysia. Dengan pengalaman dan penglibatan yang banyak dalam bidang muzik maka pada tahun 2012, beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit Muzik, Jabatan Sains Sosial di IPG tempat bertugas hingga sekarang. Atas usaha, sumbangan, komitmen dan dedikasi sebagai pendidik muzik, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2013.

Modul yang Diajar

Gurindam
Berbahasa 1 Aktif
Pantun
Berbahasa 1 Aktif
Syair
Berbahasa 1 Aktif

Maklumat Perhubungan

Bidang Kepakaran

Berbahasa

Status

Aktif