Merupakan pensyarah fakulti teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang kini menyandang portfolio sebagai Penyelaras Program Sijil Seni Kreatif ASWARA. Memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan (Perkembangan Kurikulum) dan ijazah pertama Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya. Pengalaman dalam seni persembahan bermula sewaktu bertugas sebagai artis budaya di Panggung Negara (Istana Budaya). Meneruskan pengajian secara formal di peringkat Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia (USM) dan seterusnya Diploma Teater di Akademi Seni Kebangsaan. Penglibatan dan pengalaman dalam bidang teater direalisasikan secara professional menerusi kerja-kerja sebagai pensyarah, fasilitator bengkel, pengurus produksi, pereka kostum, jurulatih vocal dan juga pelakon.
Antara produksi-produksi teater besar di Istana Budaya yang menggunakan khidmat kreatif beliau termasuklah Keris Sang Puteri (Datuk Rahim Razali), Cindai (Rohani Yousoff), Lantai T Pinkie (Rosminah Tahir), Tun Perak (Dr Hatta Azad Khan), Alang Rentak Seribu (Ahmad Yatim), Deja-Vu (Siti Rohayah Attan). Turut terlibat dengan produksi-produksi teater Actor’s Studio bersama-sama Dato’ Faridah Merican, Joe Hafsham, Dato’ Zahim Al Bakri, Ida Nerina serta mendiang Krishen Jit di dalam pementasan teater The Scropion Orchid, Hamlet serta Visits. Mempunyai komitmen yang tinggi dalam penghasilan kerja sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Memegang prinsip dalam penghasilan kerja yang berkualiti, aspek-aspek pengurusan dan komunikasi menjadi keutamaan.